Sunday, 20 January 2019

Ajar si cilik bersih diri



Ajar si cilik bersih diri



15.png
Antabax menganjurkan Kempen Kesedaran dan Pendidikan Amalan Bersih si Cilik (ABC) dengan kerjasama rantaian tadika R.E.A.L Kids bagi mengekang penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Kempen berkenaan mengetengahkan platform interaktif dalam kalangan kanak-kanak prasekolah, ibu bapa termasuk kakitangan institusi berkenaan dalam meningkatkan kesedaran mengenai masalah penyakit terbabit yang kian serius.

Tahun ini saja antara Januari hingga Ogos, kes meningkat lebih sekali ganda menerusi 55,391 kes termasuk satu kematian berbanding 24,398 kes pada tahun lalu.

Menurut Pengurus Besar Kanan, Penjagaan Peribadi dan Isi Rumah Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd Francis Ng, pihaknya menggerakkan sumber yang ada dalam membantu komuniti kerana semakin ramai kanak-kanak prasekolah dan murid sekolah rendah dijangkiti penyakit itu.

“Kami memahami perasaan komuniti, terutama keluarga yang dijangkiti penyakit ini. Kesan dapat dilihat termasuk ke atas sosioekonomi komuniti kerana ibu bapa terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak yang sakit.

“Manakala sekolah yang terjejas teruk perlu ditutup sementara sehingga 10 hari untuk mengurangkan jangkitan. Usaha bersepadu daripada semua pihak perlu dalam mengurangkan penyebaran HFMD, pada masa sama membentuk tabiat kesihatan yang baik,” katanya.

Peranan proaktif dijalankan Antabax termasuk berkongsi tip kesedaran mengurangkan penularan HFMD di platform media sosialnya, Facebook dan Instagram.

Kandungannya termasuk cara membersihkan tangan dengan betul agar ibu bapa, guru dan penjaga boleh berkongsi pengetahuan ini dengan rakan mereka dalam langkah mengurangkan risiko jangkitan HFMD.

“Selain itu kami turut melakukan sumbangan produk seperti sabun cecair, sabun buku, krim mandian, tisu, gel dan penyembur pembasmi kuman kepada murid prasekolah di kawasan yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi, selain mengadakan bengkel pendidikan bersama mereka.

“Bagi institusi terpilih termasuk prasekolah, kami akan mendidik kanak-kanak mengenai cara mengurangkan risiko jangkitan dan penyebaran HFMD. Penting bagi anak-anak ini membersihkan tangan dengan betul apatah lagi menggunakan produk kami yang diyakini mampu membunuh sehingga 99.9 peratus kuman,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi R.E.A.L Education Group Sdn Bhd Kenny Sim berkata, program sebegini mampu menyuburkan tabiat amalan penjagaan seawal usia kecil lagi.

“Pendekatan menarik apabila dimuatkan dengan unsur nyanyian dalam panduan tujuh langkah cara mencuci tangan membantu anak didik lebih mudah faham dan mengingati setiap rutin berkenaan. Mereka lebih teruja dan gembira untuk mengekalkan budaya baik.

“Saya diberitahu pusat di mana program berkenaan dijalankan, murid-murid mula mengamalkan tabiat kebersihan ini,” katanya.

Apa itu HFMD?

HFMD ialah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan virus daripada kumpulan enterovirus. Ia dipindahkan menerusi hubungan langsung dengan mukus, air liur, cecair lepuh dan najis individu yang dijangkiti HFMD.

Siapakah yang paling mudah terjejas?

Penyakit berjangkit seperti ini memberi kesan kepada bayi dan kanak-kanak berusia bawah lima tahun kerana tubuh mereka masih belum mempunyai imuniti ke atas virus yang menyebabkan HFMD. Orang dewasa juga boleh dijangkiti virus HFMD.

Tanda dan simptom HFMD

Simptom awal demam yang biasanya diikuti sakit tekak, hilang selera makan dan rasa tidak selesa. Selepas sehari dua, ulser yang sakit akan timbul di dalam mulut dan tekak, bintik-bintik merah muncul pada tapak tangan serta tapak kaki yang kemudian mungkin bertukar menjadi lepuh. Gejala ini berbeza dalam kalangan kanak-kanak.

Rawatan HFMD

Tiada sebarang ubat atau vaksin khusus untuk HFMD. Penyakit itu sembuh secara semula jadi dan ramai doktor tidak memberikan ubat untuk penyakit ini.

Ubat mengurangkan demam dan mandian air suam boleh membantu menurunkan suhu badan. Makanan sejuk seperti ais krim atau ‘smoothies’ juga boleh membantu melegakan sakit tekak pesakit yang biasanya mengalami kesukaran untuk menelan makanan. Mereka yang terjejas dinasihatkan supaya minum banyak air untuk mengekalkan penghidratan.

Cara menghalang penyebaran HFMD

Risiko dijangkiti HFMD atau penyakit berjangkit lain boleh dikurangkan menerusi amalan kebersihan yang baik. Misalnya membasuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air terutama selepas menyentuh kudis atau lepuh, pergi ke bilik air, menukar lampin bayi dan juga sebelum menyediakan makanan dan makan, serta sebelum memberi makan kepada bayi.